JULAI 2021

Kerajaan GPS Sepakat Sokong Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin


KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mencapai kata sepakat akan terus menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, ini bukanlah masa untuk berpolitik yang boleh menggugat kestabilan negara.

Sebaliknya, Pengerusi GPS itu menegaskan semua rakyat Malaysia ketika ini perlu bersatu dan bersama untuk menangani krisis pandemik Covid-19.

“Ini bukanlah masa untuk berpolitik yang boleh menggugat kestabilan negara. Ini adalah masa untuk rakyat Malaysia bersatu untuk menangani krisis pandemik Covid-19,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi GPS di Ibu Pejabat PBB, Petra Jaya di sini pada Sabtu.

Mesyuarat yang diadakan kira-kira selama sejam itu bagi membincangkan situasi semasa politik yang sedang berlaku di Kuala Lumpur.

Antara yang hadir Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri James Jemut Masing, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta barisan pucuk pimpinan GPS yang lain. – EDISI UKAS

Sumber dari : UKAS